MENGAPA DIPERLEKEHKAN?
Selain itu, terdapat juga panduan kegiatan kesenian / hiburan / kebudayaan yang merujuk kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke-2 pada 12 dan 13 Mei 1981 antara keputusannya berbunyi; jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadab, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah HARAM; pancaragam yang melalaikan hukumnya haram; dan menyanyi untuk menaikkan semangat jihad adalah harus. Universiti juga sebenarnya mempunyai Dasar Kebudayaan & Kesenian UTM (1993) yang telah menggariskan beberapa syarat dan panduan untuk menganjurkan program hiburan seperti persembahan kebudayaan bercorak percampuran jantina tidak dibolehkan, pakaian semasa persembahan hendaklah menutup aurat dan bersesuaian mengikut konteks persembahan, setiap persembahan yang diadakan di waktu malam hendaklah dimulakan selepas solat Isyak dan tidak boleh dianjurkan pada hari Khamis malam Jumaat, pada bulan puasa dan pada hari kebesaran Islam dan persembahan kebudayaan wanita hendaklah untuk tontonan wanita SAHAJA. Untuk makluman, ini barulah hanya sebahagian dari peraturannya sahaja, banyak lagi syarat dan panduan yang telah ditetapkan oleh universiti dan maklumat-maklumat ini boleh ditatap di laman web rasmi universiti di http://www.utm.my/hep2/panduan.
Namun, masalahnya sekarang, sejauh manakah mahasiswa kita peka terhadap peraturan yang telah sekian lama wujud ini. Perkongsian di ruang yang sempit ini akan dianggap gagal sekiranya kita sebagai mahasiswa tidak membuka mata hati dan melaksanakan peranan masing-masing, bukan sekadar menegakkan peraturan universiti tetapi hakikatnya kita mendaulatkan syariat Allah swt.